
Letupan paip gas: JIM ganti pasport percuma kepada mangsa
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian pasport secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, dekat sini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada pasport akibat kebakaran boleh membuat permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana pejabat imigresen yang berdekatan.
Katanya, langkah itu disediakan selaras dengan pengumuman penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa-mangsa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Jabatan Imigresen prihatin terhadap kebajikan mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
“Seiring dengan pengumuman penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa, menteri telah mengarahkan agar imigresen turut menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa secara percuma,” katanya.
Bagaimanapun katanya, penggantian pasport secara percuma itu ditawarkan kepada pemegang pasport yang masih syarat dengan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
“Mangsa juga perlu membawa pasport asal (jika masih ada) dan menyerahkan salinan laporan polis, bomba, serta pihak berkuasa tempatan,” tambahnya.
Menurut Zakaria, inisiatif itu diambil bagi membantu mempermudahkan urusan mangsa mendapatkan semula pasport yang mungkin rosak atau hilang akibat kebakaran itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |