BERITA SEMASA

Lesen PSV pemandu bas nahas pelajar UPSI digantung serta-merta

PUTRAJAYA – Lesen memandu vokasional (PSV) pemandu bas sewa yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 9 Jun lalu, digantung serta-merta.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan mengikut Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu dibuat sebagai langkah proaktif menjaga kepentingan awam.

“Penggantungan lesen ini kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan.

“JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Aedy Fadly, JPJ komited untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju kampus utama UPSI terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button