BERITA SEMASA

Lesen pengendali media sosial: Individu, pempengaruh tidak terlibat

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihatkan orang ramai supaya tidak memanipulasi isu kawal selia media sosial dan pesanan Internet yang dikuatkuasakan kerajaan bagi tujuan keselamatan alam siber.

Fahmi ketika menjelaskan perkara itu berkata, penguatkuasaan kebenaran atau syarat yang perlu dipatuhi itu hanya dikenakan kepada pengendali-pengendali platform dan tidak melibatkan pengguna individu atau golongan pempengaruh.

“Proses pelesenan ini akan bermula hari ini bagi platform media sosial. Jadi ada beberapa pihak yang memberi pandangan yang sebenarnya jauh lari daripada realiti proses perlesenan tersebut.

“Saya ingin jelaskan pelesenan ini hanya terpakai kepada platform media sosial bukan kepada pengguna ataupun pempengaruh.

“Jadi individu tidak perlu untuk mendapatkan lesen. Ia hanya terpakai kepada platform perkhidmatan tersebut,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Fahmi berkata, berkaitan garis panduan itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menerbitkan soalan lazim (FAQ) berkaitan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu untuk menjelaskan perkara berkenaan.

“Sebagai contoh adakah ada mana-mana negara lain yang mengamalkan sistem pelesenan seperti ini? Apakah tindakan yang boleh diambil oleh mana-mana pengguna atau platform sekiranya sesuatu arahan ataupun keputusan yang telah dibuat ingin mereka rujuk ataupun buat rayuan,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata, pengendali platform yang tidak mempunyai lesen tersebut menjelang 1 Januari 2025 boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Sabit kesalahan, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali.

“Tindakan denda boleh dikenakan sebanyak RM1,000 untuk setiap hari atau sebahagian daripada hari tersebut selagi mana kesalahan Itu berterusan.

“Jadi ini adalah satu contoh penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menguruskan sebarang pelanggaran kepada pemegang lesen dan juga kepada mereka yang memberi perkhidmatan tanpa lesen,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button