Lelaki warga asing ditemui maut dipercayai dikelar rakan serumah
SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai dikelar oleh rakan serumah yang juga warga asing di sebuah premis kuarters pekerja di Jalan SS 14, semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 6.29 pagi itu dilaporkan oleh seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang berusia 28 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah dikelar oleh suspek yang juga rakan serumahnya.
“Suspek yang berusia 29 tahun ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi. Sebuah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Fairus berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati beliau negatif dadah.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Siasatan awal mendapati premis tersebut digunakan sebagai kuarters pekerja oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pencucian bangunan.
Empat pekerja tinggal di rumah tersebut dan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






