
Lelaki tempatan maut dalam pergaduhan di kedai besi buruk
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditemukan mati dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan di sebuah kedai besi buruk di Jalan 1/18B, Kampung Batu, Off Jalan Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11.33 malam selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999.
Menurutnya, pemilik kedai memaklumkan berlaku pertengkaran antara dua pekerja di premis berkenaan, yang menyebabkan insiden tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek, seorang lelaki warga Myanmar, telah minum minuman keras di lokasi kejadian. Kedua-duanya dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum pergaduhan tercetus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang sebilah parang di tangan kiri.
Pemeriksaan lanjut menemukan kesan kecederaan pada bahu kanan, kepala bahagian kiri, leher, dagu kiri serta kesan luka berbentuk lubang pada bahu mangsa.
Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Unit K9 Bukit Aman serta paramedik Hospital Kuala Lumpur yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.
“Suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian dan usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan,” tambah Ahmad Sukarno.
Seorang lagi pekerja warga Bangladesh yang berada di rumah pekerja berhampiran tidak menyaksikan kejadian tersebut kerana kejadian berlaku di luar rumah.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan sedang diusahakan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |