BERITA SEMASA

Lelaki pecahkan pintu kaca bangunan MPTI disenarai hitam

TELUK INTAN – Lelaki yang bertindak agresif memecahkan pintu kaca utama bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) minggu lepas, disenarai hitam daripada menyewa premis seliaan majlis.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata, pihak MPTI akan memberikan notis pengosongan premis dalam tempoh sebulan kepada lelaki berusia 63 tahun yang mengendalikan perkhidmatan membaiki jam.

“Tindakan lelaki itu (mengamuk dan merosakkan harta benda awam di bangunan MPTI) tidak boleh diterima dan kita (kerajaan negeri) tidak boleh bertolak ansur dengan perkara terbabit. Dia akan disenarai hitam MPTI dan tidak akan dapat mana-mana gerai atau kedai pun pada masa akan datang.

“Malah, dia juga sudah dua bulan tidak membayar sewa premis sebanyak RM150 sebulan. Ini merupakan satu pengajaran kepada dia dan mana-mana penyewa (premis) yang lain supaya jangan bertindak mengikut undang-undang sendiri,” katanya.

Sivanesan berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau perayaan Chithirai Pournami di Kuil Sri Subramaniam yag disertai kira-kira 20,000 penganut Hindu di Jalan Bandar, di sini hari ini.

Khamis lepas, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu datang ke bangunan MPTI dengan menaiki motosikal, sambil membawa sebatang tukul besi lalu bertindak memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan.

Bakri berkata, lelaki itu dalam keterangannya kepada polis berkata, dia berasa tidak berpuas hati terhadap tindakan MPTI, yang memasang khemah di hadapan kedainya semasa sambutan perayaan Chitra Pournami yang disambut setiap tahun, kerana menghalang pandangan pelanggan terhadap kedai jamnya.

Video kejadian itu yang berdurasi 1 minit 30 saat turut menjadi tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button