BERITA SEMASA

Lelaki maut jatuh ketika pasang paip air

BALING – Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ketika memasang paip di kawasan berbukit di Kampung Baru Bukit Hijau, Baling, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.18 petang mengenai satu kejadian lemas.

“Bagaimanapun, apabila pasukan tiba di lokasi sekitar 21 kilometer dari balai pada pukul 3.45 petang, didapati mangsa berada di dalam kawasan parit yang airnya agak cetek.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 15 kaki (4.5 meter) ketika sedang memasang paip untuk pengairan pertanian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Sobri Md Nor, 59, keluar awal pagi untuk menjalankan kerja tersebut dan tidak pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

Ketiadaannya disedari oleh keluarganya yang kemudiannya cuba mencarinya di lokasi kejadian.

“Isteri dan anak lelaki mangsa menemui beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan parit tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” tambah Zulkhairi.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.47 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button