BERITA SEMASADALAM NEGERI

Legasi kepimpinan Razarudin terus jadi inspirasi

SUBANG JAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tegas dan menolak sikap mentadbir dari kerusi empuk.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada majlis Malam Mes Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena meraikan persaraan Razarudin di sini malam tadi.

“Beliau ligat turun padang untuk berada lebih dekat serta menyelami denyut nadi warga pasukan.

“Lebih membanggakan lagi figura hebat ini turut cemerlang dalam arena sukan berkuda sehingga berjaya mengharumkan nama PDRM di pentas sukan berpestij itu,” kata Mohd Khalid menerusi hantaran di Facebook rasmi PDRM.

Razarudin dan isterinya, Datuk Zainah Othman diraikan oleh Mohd Khalid selaku Yang Dipertua Mes PDRM dan isterinya, Munirah Che Rose merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia dalam majlis penuh meriah di Hotel Sunway Resort itu.

Razarudin dan isterinya diraikan pada majlis gilang gemilang sempena persaraannya selepas hampir 43 tahun berkhidmat.

Majlis dengan penuh istiadat kepolisan anjuran Jawatankuasa Mes Pegawai Kanan PDRM bertemakan Legasi Kepimpinan, Inspirasi Sepanjang Zaman itu bertepatan dengan kewibawaan, profesionalisme serta aura kepimpinan yang dimiliki oleh Razarudin sepanjang tempoh hampir 43 tahun berkhidmat.

Ia diserikan dengan tayangan dua buah video yang berkisarkan perjalanan hidup dan karier Razarudin sebagai anak anggota polis sehingga berjaya menjawat jawatan nombor satu pasukan keramat itu.

Turut hadir barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, barisan Ketua Polis Negeri, para pesara PDRM termasuk ahli keluarga Razarudin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button