Berita Semasa

Lebih daripada seorang ahli politik terlibat lindungi sindiket judi – SPRM

CYBERJAYA – Siasatan ke atas dakwaan bahawa aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik, mendapati ia melibatkan lebih daripada seorang ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, identiti individu atau entiti yang terlibat masih tidak boleh didedahkan lagi kerana siasatan masih berjalan, lapor portal BH Online.

“Kita sedang siasat perkara ini. Laporan (ahli politik lindungi kegiatan judi haram) baru dibuat dalam bulan lepas, jadi kita masih lagi mengumpul maklumat,” kata Azam selepas merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Kita tak boleh dedahkan siapa ahli politik berkenaan, tapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Kalau terbukti, ia adalah satu kesalahan.

“Ada beberapa (ahli politik) dalam kalangan mereka (yang disyaki menaungi kegiatan judi haram), tapi saya tak boleh kata ramai atau tidak kerana nanti dimanipulasi banyak pihak.

“Itu (parti kerajaan atau pembangkang) pun saya tak boleh nak kata. Ahli politik itu, ahli politiklah,” kata Azam lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah ahli politik disyaki terbabit melindungi kegiatan judi dalam talian, seperti didedahkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat.

Saifuddin sebelum ini mendedahkan ada kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik selain mendakwa pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button