Lebih 35 aktiviti menarik meriahkan SMP 2025 Peringkat Kebangsaan minggu depan
PUTRAJAYA – Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung selama empat hari bermula Khamis depan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif untuk pengunjung.
Kementerian Perpaduan dalam satu kenyataan hari ini berkata, bertemakan “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, sambutan itu akan menjadi platform utama dalam memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif.
“Objektif utama penganjuran sambutan ini adalah untuk merapatkan jurang perbezaan serta memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati yang menjadi asas kekuatan negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Kemuncak kepada sambutan tersebut adalah majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 10.30 pagi, 19 Julai (Sabtu).
Antara pengisian sambutan tersebut termasuk pelbagai pameran suku kaum etnik di Malaysia, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia dan Pavilion Perpustakaan Malaysia, pelbagai jualan produk kraftangan dan produk usahawan tempatan, dan pelbagai lagi aktiviti menarik.
Selain itu, pengunjung akan dapat menikmati tawaran khas termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPF) serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan.
Turut diadakan persembahan khas artis tersohor tempatan seperti Datuk Awie, Stacy, Black Hanifah dan ramai lagi, dan juga persembahan khas oleh kumpulan nasyid Hijjaz dan InTeam.
Bagi hiburan pengunjung cilik, sambutan ini akan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa Muzikal Didi & Friends.
“Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia ke sambutan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh keharmonian nasional,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








