Lebih 20 biarawati selamat dalam kebakaran biara berusia lebih 400 tahun di Itali
ITALI – Sekurang-kurangnya 21 orang biarawati berjaya diselamatkan dalam kebakaran besar melanda Biara Bernaga yang berusia lebih 400 tahun di Perego, La Valletta Brianza, kira-kira 30 kilometer ke timur laut Milan, kelmarin.
Kebakaran dilaporkan bermula sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan), dipercayai berpunca daripada litar pintas di salah satu sel penghuni biara.
Api merebak dengan cepat melalui bumbung bangunan dan menyebabkan kerosakan besar pada struktur serta aset seni yang disimpan di dalam bangunan itu.
Menurut Massimo Sertori, seorang ahli majlis tempatan, 19 daripada biarawati yang diselamatkan kini ditempatkan di pusat kebajikan Little Apostles di Ponte Lambro, manakala dua lagi menerima rawatan di hospital berhampiran bagi merawat kecederaan ringan dan keracunan asap.
“Pasukan bomba dari Lecco, Monza Brianza dan Como dikerahkan bagi memadam api dan mengawal keadaan, manakala operasi pembersihan dan pemulihan bangunan sedang dijalankan.
“Antara yang terjejas dalam kebakaran itu adalah koleksi lukisan dan karya seni berharga selain struktur binaan warisan yang turut mengalami kerosakan teruk,” katanya.
Biara Bernaga mula dibina pada tahun 1628 dan ia juga mempunyai kepentingan rohani dan nilai sejarah yang tinggi dalam agama Kristian kerana menjadi tempat Saint Carlo Acutis menerima komuni pertamanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








