Lebih 142,000 belia hilang MyKad akibat cuai – Hannah Yeoh
PUTRAJAYA – Sebanyak 142,535 atau 50 peratus daripada keseluruhan 285,568 kes kehilangan kad pengenalan yang direkodkan sepanjang tahun lalu melibatkan golongan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu amat membimbangkan memandangkan kad pengenalan merupakan dokumen penting yang diperlukan untuk pelbagai urusan rasmi.
“Daripada jumlah tersebut, lebih 136,000 kes kehilangan MyKad dalam kalangan belia berpunca daripada kecuaian. Ini satu angka yang besar.
“Apabila belia cuai, ia membawa risiko yang besar termasuk kemungkinan berlaku kecurian identiti dan penipuan, kesukaran untuk melaksanakan urusan rasmi, beban kos penggantian serta tempoh masa menunggu, dan akhirnya memberi tekanan emosi kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan kerjasama strategik bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di kementeriannya di sini, hari ini.
Hannah turut berkata, keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan anak muda mengenai kepentingan menjaga dokumen pengenalan diri, selain memaklumkan beberapa inisiatif bersama JPN akan diumumkan bagi menangani isu tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, kad pengenalan yang hilang boleh disalahgunakan untuk tujuan pembukaan akaun bank tidak sah, permohonan pinjaman palsu dan jenayah penipuan identiti.
Katanya, selain faktor rompakan dan ragut, kecuaian dalam menyimpan dokumen penting turut menjadi penyumbang utama kepada kes-kes kehilangan tersebut.
Jelas beliau, kadar bayaran penggantian MyKad juga bukan sesuatu yang ringan, iaitu antara RM110 hingga RM1,010 bergantung kepada jumlah kehilangan yang telah berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






