Lebih 123,000 pendaftaran Program Khairat Darul Ehsan sehingga Oktober lalu
SHAH ALAM – Program Khairat Darul Ehsan (KDE) terus menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 123,000 pendaftaran direkodkan sehingga 30 Oktober tahun ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, daripada keseluruhan 123,343 pendaftaran itu, sebanyak 99,621 permohonan telah diluluskan, manakala 17,845 lagi masih dalam proses semakan.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 5,259 permohonan didapati tidak lengkap, manakala 618 ditolak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Leong Tuck Chee (Pandamaran) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurut Anfaal, jumlah keseluruhan ahli Selangor Malay United Entrepreneurs (SMUE) yang layak berdaftar di bawah KDE adalah seramai 385,903 orang.
“Sehingga kini, seramai 89,346 ahli telah melengkapkan pendaftaran. Namun, masih terdapat 296,557 ahli yang belum mengemaskini maklumat masing-masing,” katanya.
Mengulas pecahan pendaftaran mengikut umur, Anfaal berkata, kumpulan terbesar melibatkan peserta berusia antara 50 hingga 60 tahun iaitu seramai 75,935 orang.
Seramai 38,901 pula berumur lebih 60 tahun, manakala 8,507 pendaftar adalah individu bawah 50 tahun termasuk golongan OKU.
Program KDE dilaksanakan sebagai inisiatif kebajikan bagi membantu masyarakat Melayu di Selangor, khususnya ahli SMUE untuk mendapatkan sokongan kewangan serta manfaat program kerajaan negeri dengan lebih mudah dan tersusun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






