BERITA SEMASA

Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di Lumut

LUMUT – Lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 yang akan berlangsung di Lumut Waterfront, Perak dari 13 hingga 15 Jun ini.

Sekretariat PMR 2025 dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program di Perak kali ini akan memberi tumpuan kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin kepada dasar-dasar dan pembangunan inisiatif yang berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.

Majlis perasmian penutupan PMR 2025 di Perak dijadualkan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad, yang turut akan dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Antara pengisian program termasuk perkhidmatan touchpoint rakyat, inisiatif kesejahteraan komuniti, sesi bersama pemimpin serta aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan dikendalikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Program ini adalah selaras dengan hasrat merakyatkan perkhidmatan selain memperkukuh aspirasi Rakyat Madani,” kata kenyataan itu.

PMR 2025 dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) sebagai sekretariat induk dengan kerjasama strategik daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah.

Tema tahun ini adalah Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani.

“Sebagai sebahagian daripada program ini, pelbagai kaunter perkhidmatan bergerak akan dibuka oleh kementerian atau agensi Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Selain itu, turut disediakan reruai khas yang akan dipamerkan oleh Kerajaan Negeri Perak menerusi agenda Perak Sejahtera 2030 yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button