BERITA SEMASA

Lebih 100,000 hadiri program Darul Ehsan Berselawat Jiwa Merdeka

SHAH ALAM – Lebih 100,000 pengunjung memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini malam tadi, sempena program Darul Ehsan Berselawat Jiwa Merdeka.

Menurut portal Selangorkini, program dianjurkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 peringkat negeri Selangor itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Ketika berucap merasmikan majlis, Amirudin berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini tidak melibatkan hanya perarakan sebaliknya ingin membangkitkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW dalam hati sanubari umat Islam.

“Ketika Nabi Muhammad SAW turun ke bumi Mekah bersama wahyu dan iqra’, Baginda bukan hanya membawa kalimah Allah dan al-Quran tetapi turut membebaskan masyarakat di seluruh pelusuk dunia.

“Dengan asasnya, Baginda membebaskan manusia daripada penghambaan diri terhadap manusia dan perkara merosakkan iman.

“Bertemakan jiwa merdeka pada sambutan kali ini, ini bermaksud manusia membebaskan dirinya daripada segala kegelapan, kesilapan dan akhlak buruk,” katanya.

Beliau seterusnya turut berharap, alunan selawat dapat menggerakkan hati, memperkukuhkan iman serta melahirkan manusia yang mempunyai jiwa merdeka dan tidak menjadi hamba kepada manusia, harta dan dunia.

“Kita perlu menjadi manusia yang bebas tetapi mempunyai akhlak dan perilaku seperti diajar Nabi Muhammad SAW.

“Selain itu, diharap dengan kehadiran tetamu ke majlis ini dapat menanam iman di dada dan meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW,” ujarnya lagi.

Terdahulu, program berselawat itu dihadiri Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid dan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf (Habib Bidin) serta kumpulan nasyid Majlis Az-Zahir dari Pekalongan, Indonesia.

Selain bermunajat, zikir dan berselawat yang bermula 7 malam, program turut diserikan dengan tausiyah (ceramah) oleh Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button