BERITA SEMASA

Lebih 100 anggota PDRM hadiri pengebumian Lans Koperal Damarrulan

IPOH – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park, di sini apabila lebih 100 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir memberikan penghormatan terakhir kepada rakan setugas mereka, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, yang terkorban dalam nahas jalan raya di Teluk Intan semalam.

Jenazah Allahyarham, salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kejadian itu selamat dikebumikan pada pukul 4.50 pagi ini dalam Istiadat Pengebumian Kepahlawanan yang penuh sayu dan penuh penghormatan.

Kehadiran ratusan anggota PDRM, berpakaian seragam lengkap dan berbaris rapi di sekitar kawasan perkuburan, menggambarkan semangat setiakawan dan penghargaan mendalam terhadap pengorbanan Allahyarham semasa berkhidmat dalam pasukan.

Upacara penuh istiadat itu turut disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, yang menyampaikan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar, 53, sebagai lambang penghormatan negara atas jasa bakti anaknya.

Talkin dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Kepayang, Jamaludin Mohd Amin, manakala tahlil dan doa dipimpin oleh Azrul Zaimee Mohamad Ali dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard FRU.

Nahas yang meragut sembilan nyawa anggota FRU Unit 5 Sungai Senam itu berlaku apabila trak pasukan mereka dirempuh sebuah lori bermuatan batu kerikil akibat kegagalan fungsi stereng.

Kesemua mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas menamatkan tugasan Op Chariot sempena perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button