BERITA SEMASAPMX

Lawatan Presiden Maldives perkukuh hubungan strategik dua negara

PUTRAJAYA – Malaysia mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan strategik utama di Asia Selatan hari ini apabila Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu, memulakan lawatan rasmi pertamanya ke negara ini dengan penuh istiadat di Bangunan Perdana Putra.

Ketibaan Dr Muizzu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tepat pukul 9 pagi, dalam istiadat diplomatik yang menyaksikan lagu kebangsaan kedua-dua negara bergema di perkarangan kompleks pentadbiran negara.

Turut mengiringi sambutan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan Jemaah Menteri.

Dr Muizzu kemudian diberi penghormatan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Lawatan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala, merangkumi bidang strategik seperti perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.

Anwar dan Muizzu juga dijangka menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan, selain dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) berkaitan Latihan Diplomatik dan Konsultasi Dua Hala.

Pencapaian tahun lalu membuktikan potensi besar dengan jumlah dagangan Malaysia-Maldives meningkat 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (AS$189 juta).

Ini menjadikan Maldives rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button