Berita Semasa

Lawatan Presiden China ke Malaysia tiada kaitan dengan tarif AS

KUALA LUMPUR – Lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia yang bermula hari ini tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi, termasuk berkaitan isu tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Sebaliknya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lawatan itu merupakan satu bentuk penghormatan terhadap peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Menurut beliau, lawatan tersebut telah dirancang sejak berbulan-bulan yang lalu dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, seperti yang dispekulasikan sesetengah pihak berikutan isu tarif yang dibangkitkan baru-baru ini.

“Lawatan ini telah dirangka dan kita tahu bahawa setiap lawatan pemimpin besar dunia tidak dilakukan secara mengejut. Ketika perancangan dibuat, isu tarif pun belum timbul lagi. Jadi, tidak wajar kalau lawatan ini dibaca dengan tafsiran yang bukan-bukan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Majlis Hari Raya berasama warga Kementerian Pertahanan yang dihadiri lebih 9,000 tetamu di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa kehadiran Presiden China itu adalah lambang penghormatan terhadap Malaysia.

Walau bagaiamanapun, beliau tidak menolak kemungkinan isu kenaikan tarif akan turut disentuh dalam pertemuan dua hala antara pemimpin kedua-dua negara.

“Sudah tentu apabila beliau hadir, isu-isu seperti kesan kenaikan tarif akan menjadi antara perkara yang dibincangkan untuk mencari manfaat bersama,” jelasnya.

Terdahulu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lawatan dari 15 hingga 17 April itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sempena lawatan itu, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Sultan Ibrahim turut berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara.

Xi, yang diiringi oleh menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan China, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin kemudian akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota antara Malaysia dan China,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button