
Larian CIMB ACNR 2025 tawar hadiah RM21,000
KLLMB anjur larian bertaraf serantau sempena Malaysia Pengerusi ASEAN
KAJANG – Koperasi Lebuhraya Malaysia Berhad (KLLMB) sekali lagi mengorak langkah sebagai penganjur utama larian CIMB ASEAN Cultural Night Run 2025 (CIMB ACNR 2025) yang bakal berlangsung di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang, 16 Ogos ini.
Melalui kerjasama erat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, edisi keempat acara tahunan ini menampilkan kelainan menerusi penyertaan dari negara-negara serantau sempena kepengerusian ASEAN 2025.
CIMB Bank Berhad tampil sebagai penaja utama manakala lapan lagi organisasi menyumbang dalam bentuk tajaan wang tunai dan barangan.
Antaranya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Faithview Resources, Sky Blue Media Sdn. Bhd, S & A Bintang, Century Software (M) Sdn. Bhd, PLUS Malaysia Berhad, Julie’s Manufacturing Sdn. Bhd, AFA Prime Berhad dan Kuala Lumpur – Kuala Selangor Expressway (LATAR).
Acara yang dijangka menarik 5,000 peserta itu membabitkan tiga kategori iaitu Half Marathon 21 kilometer (km), 10km dan Cultural Fun Run 5 km.

Uniknya, larian ini menggabungkan sukan kompetitif dan aktiviti santai dengan persembahan kebudayaan, menjadikannya satu pengalaman riadah luar biasa.
Penganjur berkata, CIMB ACNR 2025 bukan sekadar acara larian biasa, malah menjadi medan untuk mengangkat budaya tempatan dan memperkukuh nilai kebersamaan serantau melalui semangat ASEAN Way.
Bagi memeriahkan acara, penganjur menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM21,000 kepada pemenang pelbagai kategori, selain 30 hadiah pakaian kebudayaan tercantik (kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak) dan 30 hadiah cabutan bertuah untuk peserta berdaftar.
Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang (PAAA), Majlis Sukan Negeri, Majlis Bandaraya dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).
Katanya, melalui pendekatan baharu dan bertaraf serantau, CIMB ACNR 2025 bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah menjadi platform diplomasi rakyat yang memupuk rasa bangga sebagai warga ASEAN.
Sebarang pertanyaan berkaitan penajaan atau penyertaan CIMB ACNR 2025, boleh dikemukakan kepada pihak penganjur melalui Nor’Adilah Aunudin di talian 013-2570098 atau E-mel: sekretariatkllmb@llm.gov.my
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |