BERITA SEMASA

Larangan penjualan vape di Pulau Pinang dibincang hari ini

GEORGETOWN – Cadangan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di Pulau Pinang akan dibincangkan dalam satu mesyuarat, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, mesyuarat dengan agensi berkepentingan itu adalah bagi mendapatkan pandangan serta cadangan daripada semua pihak berhubung perkara berkenaan.

“Semua dapatan dan cadangan daripada mesyuarat tersebut akan diteliti dan seterusnya saya akan bentangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok supaya dapat menimbang secara teliti keseluruhan cadangan,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri terbuka untuk mempertimbangkan cadangan melarang penjualan vape di semua premis perniagaan di Pulau Pinang namun tiada perbincangan rasmi diadakan setakat ini.

Daniel turut berkata, mesyuarat itu juga penting bagi mempertimbangkan beberapa perkara sebelum pelaksanaan larangan penjualan alat berkenaan, antaranya mengambil kira jarak Pulau Pinang dengan negara jiran yang masih melaksanakan penjualan vape, sekali gus menyukarkan penguatkuasaan sepenuhnya di negeri itu.

Untuk rekod, beberapa negeri telah mengambil langkah lebih awal berhubung larangan penjualan rokok elektronik antaranya Johor, Kelantan dan terkini Terengganu, yang akan menguatkuasakan larangan itu bermula 1 Ogos depan.

Selain itu, Melaka pula sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan sama di kawasan tertentu manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri mempunyai ruang dari sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button