
Larangan pekerja asing di gerai di bawah MBDK bermula 1 Jun 2025
KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan melaksanakan larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap sebagai pembantu di semua gerai dan kios bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu, berkuat kuasa 1 Jun 2025.
Menurut kenyataan rasmi MBDK, larangan tersebut melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman serta kios di pasar-pasar awam yang dimiliki dan dikendalikan oleh majlis.
“Hanya warganegara Malaysia dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai. Semua pembantu juga wajib didaftarkan dengan MBDK,” jelas kenyataan itu yang dikeluarkan atas arahan Datuk Bandar Klang.
Jelas pihak majlis, pelaksanaan larangan ini bertujuan memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana seperti perniagaan gerai dapat diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan.
Langkah itu juga diambil bagi memperkemas sistem pemantauan serta pendaftaran pekerja bagi operasi gerai-gerai di bawah pengawasan MBDK.
Dalam masa sama, MBDK turut mengingatkan semua penyewa agar mematuhi peraturan baharu tersebut kerana kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan undang-undang atau pembatalan lesen sewaan.
“Kami ingin memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana seperti ini diberi keutamaan kepada warga tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan,” tegas MBDK.
Maklumat lanjut serta prosedur pendaftaran pembantu gerai boleh diperoleh melalui Pejabat MBDK atau menerusi laman sesawang rasmi majlis tersebut di www.mbdklang.gov.my.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |