Larangan merokok di pejabat tidak akan ditarik balik – Dr Dzulkefly
BANGI – Larangan merokok di pejabat yang berkuat kuasa 1 Januari lepas, tidak akan ditarik balik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua akta dan peraturan berkaitan termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan terus dikuatkuasakan.
“Pastinya tidak (menarik balik larangan tersebut). Semua akta dan peraturan berkaitan akan terus dikuatkuasakan.
“Kita telah melaksanakan penguatkuasaan pendidikan terlebih dahulu. Mulai 1 April, beberapa peraturan tambahan akan dilaksanakan secara lebih tegas,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media sebelum ini bahawa peguam Mohamed Haniff Khatri, yang sebelum ini gagal mencabar larangan tersebut, sekali lagi memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan itu.
Dzulkefly berkata, pihaknya bersedia menghadapi cabaran undang-undang yang dikemukakan Mohamed Haniff.
“Beliau berhak untuk mengambil langkah undang-undang dan semakan kehakiman ini. Namun proses perundangan perlu dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya lagi.
Jelasnya, larangan merokok di pejabat merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi kesihatan awam, dan telah dirancang dengan rapi bagi memastikan persekitaran kerja bebas daripada asap rokok.
Untuk rekod, di bawah Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu, sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk premis dobi dan bangunan tempat kerja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







