Berita Semasa

Laporan kajian empirikal pemisahan kuasa AG dan Pendakwa Raya dijangka dibentang tahun hadapan

KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyediakan laporan interim hasil kajian empirikal berkaitan pemisahan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, berkata, laporan tersebut, yang mengambil masa setahun untuk disiapkan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal Komparatif, dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan pada tahun hadapan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kajian empirikal itu dijalankan di Ottawa dan Toronto, Kanada, serta Melbourne dan Canberra, Australia, masing-masing pada 6 hingga 9 Mei dan 3 hingga 6 Jun lalu.

“Pasukan itu sudah memperoleh maklumat dan data komprehensif serta menyeluruh, termasuk perkara teknikal, spesifik dan generik yang memberi penekanan kepada ‘big picture’ pelaksanaan pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya di negara ini.

“Negara terakhir akan dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Komparatif ialah United Kingdom (UK) yang juga penutup kepada Kajian Empirikal, akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai status terkini usaha pemisahan peranan AG dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.

@malaysiatribune

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyediakan laporan interim hasil kajian empirikal berkaitan pemisahan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya. #malaysiatribune #dewanrakyat #parlimen

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Sementara itu, Kulasegaran memaklumkan, Pasukan Petugas Khas Komparatif sedang mengkaji model terbaik dan paling sesuai untuk pemisahan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya, memandangkan setiap negara mengamalkan model yang berbeza.

Beliau menjelaskan bahawa di Kanada dan Australia, AG secara umum tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada Pendakwa Raya, namun dalam kes tertentu seperti yang melibatkan isu keselamatan, AG boleh mengeluarkan arahan am, dengan syarat arahan tersebut diwartakan dan diketahui umum.

“Di Australia, perkara menarik dikenal pasti adalah kes sivil membabitkan kerajaan dikendalikan jabatan berbeza iaitu ‘Australian Government Solicitors’ (AGS). Namun, agensi kerajaan tidak wajib menggunakan perkhidmatan guaman AGS, kecuali dalam kes tertentu.

“Justeru, aspek seperti ini perlu diteliti secara terperinci. Kajian empirikal juga diperlukan untuk meneliti aspek teknikal dalam usaha pemisahan ini, seperti implikasi kewangan kepada kerajaan dan keperluan sumber manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teresa yang bertanya mengapa pindaan itu tidak boleh dipinda secara terus, selain rasional kajian empirikal itu mengambil masa selama dua tahun untuk dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button