
Laporan akhir nahas di Kapar: Juruterbang lakukan gerakan penerbangan agresif, jejas kekukuhan pesawat
PUTRAJAYA – Laporan akhir nahas pesawat Blackshape Gabriel BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor tahun lepas, mendedahkan juruterbang didapati melakukan gerakan penerbangan agresif melebihi had kemampuan pesawat.
Perlakuan tersebut menyumbang kepada kepada beban berlebihan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat justeru membawa kepada pemisahan bahagian ketika penerbangan.
“Kegagalan dan pemisahan bahagian struktur ketika penerbangan akibat tekanan operasi berlebihan pada bahan komposit pesawat yang lemah, dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat terbabit.
“Kekukuhan struktur pesawat telah terjejas oleh operasi berulang di luar had operasi penerbangan yang diluluskan, termasuk melebihi kelajuan udara maksimum, faktor beban dan had struktur, yang memberi tekanan tidak wajar pada strukturnya,” menurut laporan akhir kemalangan pesawat berkenaan yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan (MOT), semalam.
Selain itu, pemasangan bahagian yang tidak diperakui, terutamanya tie-down rings, melemahkan lagi kekukuhan pesawat dan menyumbang kepada kegagalan itu.
Laporan tersebu turut menyertakan beberapa faktor lain yang menyumbang kepada nahas berkenaan turut dikenal pasti iaitu prestasi juruterbang, penyelenggaraan pesawat, kegagalan organisasi dan pengawasan operasi.
“Pesawat itu menjalani amalan penyelenggaraan yang tidak diluluskan, termasuk pemasangan alat ganti yang tidak diperakui oleh kakitangan yang tidak berkelayakan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, menjadikannya lebih terdedah kepada kegagalan ketika penerbangan,” menurut laporan itu yang turut menyatakan tiada penumpang boleh selamat daripada nahas tersebut susulan daya nyahpecutan yang besar semasa hentaman.
Sementara itu, dapatan lain menunjukkan kepekatan alkohol dalam darah (BAC) juruterbang terlibat ialah 0.032 peratus iaitu melebihi had yang dibenarkan undang-undang (0.02 peratus) yang mungkin menjejaskan prestasi juruterbang semasa penerbangan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam laporan sama mencadangkan untuk melaksanakan langkah dipertingkat bagi meneliti operasi penerbangan tidak berjadual dalam Malaysia, khususnya melibatkan pesawat yang didaftarkan di luar negara dan kru pesawat berlesen asing.
Nahas tersebut berlaku 13 Februari tahun lepas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor, dan mengorbankan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |