BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Lapang sasar lama, tanah milik MINDEF dikenal pasti untuk Projek Perumahan Sasar – Khaled

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengenal pasti lapang sasar lama serta tanah milik kementerian itu di seluruh negara untuk dibangunkan sebagai projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (Sasar).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebahagian besar tanah berkenaan kini telah dikelilingi pembangunan perumahan awam sehingga menjadikannya tidak lagi sesuai berfungsi sebagai lapang sasar.

Menurutnya, jika tiada tindakan segera diambil untuk menukar status tanah terbabit, ia berisiko diambil alih oleh pihak atau kementerian lain bagi tujuan pembangunan.

“Daripada tanah milik ATM itu terlepas kepada pihak lain, lebih wajar tanah itu kita tukar untuk dijadikan projek rumah SASaR supaya banyak anggota berpeluang untuk membeli rumah.

“Kita sudah kenal pasti tanah yang sesuai ada dua hingga tiga, kita tidak akan bina banyak sebab kita bukan Kementerian Perumahan tapi kita akan pertimbang tengok pada kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sasar Residensi Sateria, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Baca juga : MINDEF akur arahan pembekuan perolehan, operasi pertahanan tidak terjejas

Mengulas mengenai projek Residensi Sateria, Mohamed Khaled berkata, ia projek SASaR pertama yang berjaya disiapkan sepenuhnya membabitkan seramai 3,500 penerima kunci.

Beliau berkata, projek yang dibangunkan oleh MINDEF itu siap sepenuhnya selepas dimulakan pada tahun 2022, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota ATM.

Khaled Nordin berkata, projek perumahan tersebut dibangunkan di atas tanah seluas 12 hektar dan menawarkan kediaman kepada anggota ATM serta kakitangan MINDEF.

Menurut beliau, projek itu menawarkan unit kediaman berkeluasan 1,000, 1,100 dan 1,200 kaki persegi dengan harga lebih rendah berbanding nilai pasaran, iaitu antara RM150,000 hingga RM250,000 kepada mereka yang layak.

“Harga rumah melalui projek jauh lebih murah berbanding harga pasaran. Jika tidak ada intervensi ini, tidak mungkin anggota kita boleh berpeluang untuk beli rumah.

“MINDEF juga akan membangunkan projek perumahan SASaR seterusnya di kawasan lain termasuk di Kem Wardieburn dan Setapak,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button