Berita SemasaLuar Negara

Lapan petugas kemanusiaan MAPIM maut dalam serangan udara di Gaza

KUALA LUMPUR– Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel yang mengorbankan lapan pekerja kemanusiaannya termasuk tiga petugas media di Beit Lahiya, utara Gaza, pada Sabtu lalu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan yang berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan itu menyasarkan pekerja bantuan yang sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Katanya, MAPIM turut menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mengambil tindakan terhadap Israel atas kejahatan perang yang tercetus serta memastikan keselamatan pekerja bantuan dan orang awam di Gaza.

“MAPIM bersama rakan kongsinya, Al-Khair Foundation, menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan pasukan kemanusiaan yang syahid dalam serangan ini, termasuk tiga petugas media yang sedang mendokumentasikan usaha bantuan di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar, dan Ahmad Hamad.

Mohd Azmi berkata, serangan itu adalah pelanggaran berat terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi orang awam serta pekerja kemanusiaan di zon konflik.

Katanya, meskipun berdepan risiko yang tinggi, MAPIM tetap komited meneruskan misi kemanusiaan di Gaza.

“Sehingga kini, MAPIM telah berjaya mendirikan sebanyak 1,000 khemah bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel,” katanya.

Selain itu, MAPIM turut mendesak supaya gencatan senjata segera dilakukan bagi menghentikan pembunuhan berterusan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.

MAPIM turut menekankan kepentingan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan di Gaza untuk memastikan rakyat Palestin mendapat keperluan asas mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button