Lapan ekor lembu disita, pemilik disaman
PETALING JAYA – Pemilik kepada sekumpulan lembu yang tular selepas berkeliaran di atas jalan raya berhampiran SS19, Subang Jaya, pada minggu lalu telah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengeluarkan saman ke atas pemilik haiwan ternakan terbabit.
“Kesemua lapan ekor lembu turut disita oleh pihak MBSJ bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang dan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Menurutnya, tindakan pantas telah diambil selepas pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan.
“Anggota trafik IPD Subang Jaya bersama MBSJ, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Veterinar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Subang Jaya telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pihak veterinar telah memberikan suntikan terhadap lembu-lembu tersebut sebelum tindakan sitaan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video menunjukkan sekumpulan lembu berkeliaran dan berehat di atas jalan Persiaran Kemajuan Subang Jaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang awam ekoran potensi kemalangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








