
Kutipan Wakaf MARA MADANI cecah RM51.6 Juta
KUALA LUMPUR – Wakaf MARA MADANI yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mac lalu berjaya meraih sumbangann sebanyak RM51.6 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif wakaf tersebut bertujuan memperkukuh kedudukan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera melalui dana yang dikembangkan secara strategik.
Katanya, bagi agihan keuntungan pengembangan dana wakaf itu pula akan bermula seawal Julai 2025.
“Alhamdulillah, sambutan luar biasa telah ditunjukkan oleh rakyat, dengan 1,114 penyumbang tampil menyumbang pada hari pelancaran sahaja, mengumpulkan RM201,168.
“Dan dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, jumlah kutipan terus meningkat kepada RM51.6 juta hasil sumbangan daripada 1,845 penyumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, angka itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap Wakaf MARA MADANI sebagai pemacu ekonomi Bumiputera yang mampan.
“Pada fasa awal pelaksanaannya, manfaat wakaf akan disalurkan ke pelbagai sektor utama termasuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan dan pembangunan aset wakaf.
“Antara inisiatif utama adalah bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi sesi Julai 2025,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan menyokong usaha itu sambil menyeru lebih ramai individu, sektor korporat dan NGO untuk turut serta dalam inisiatif tersebut.
“Setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menjadi pelaburan jangka panjang dalam memperkasa ekonomi Bumiputera.
“Dengan pengurusan telus dan strategi yang jelas, saya yakin Wakaf MARA MADANI akan menjadi pemacu kejayaan ekonomi yang lestari, inklusif dan penuh keberkatan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |