BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

KUSKOP beri pengiktirafan kepada lebih 50 usahawan komuniti India

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas usaha dan inisiatif Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, telah memberikan sokongan dan pengiktirafan kepada lebih 50 usahawan komuniti India melalui Inisiatif Pemerkasaan Usahawan India (EIP).

Ramanan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata, EIP, yang merupakan agenda strategik bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan komuniti India menandakan komitmen kerajaan untuk mengangkat kejayaan usahawan India.

“EIP bukan sekadar program pembangunan ia adalah platform pengiktirafan, pemantapan kapasiti dan pemerkasaan rangkaian perniagaan bertaraf global.

“Dengan membuka ruang pengiktirafan dan sokongan strategik seperti ini, saya yakin usahawan India bukan sahaja mampu melakar kejayaan dalam negara, malah menembusi pasaran antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacaka oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Anbumani Balan yang hadir mewakilinya untuk menyampaikan anugerah.

Terdahulu, sokongan dan pengiktirafan tersebut diberikan melalui inisiatif ‘Empowering Indian Entrepreneur’ (EIP) untuk Majlis Anugerah “Business Icon Awards 2025” yang dianjurkan oleh Nambikkai Media di Dewan Tun Razak, Bank Rakyat semalam.

Ramanan menegaskan, EIP menjadi jambatan yang menghubungkan usahawan kepada akses pembiayaan, latihan perniagaan dan rangkaian global melalui agensi-agensi utama di bawah KUSKOP seperti AIM, TEKUN Nasional, SME Corp., SME Bank, Bank Rakyat, PERNAS, IKMA, dan INSKEN.

Beliau berkata, semua usaha tersebut selari dengan visi Kerajaan MADANI yang memastikan peluang ekonomi diagih secara adil dan inklusif kepada semua komuniti.

“Sokongan rasmi melalui penglibatan Bank Rakyat dalam penganjuran kedua-dua anugerah tersebut menandakan kerjasama progresif antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkukuh kedudukan usahawan India sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ramanan menambah, sokongan ini bukan sekadar pengiktirafan kepada individu atau syarikat, tetapi satu langkah penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih mampan dan berdaya saing.

“Buat julung kali, agensi-agensi pelaksana inisiatif khas komuniti India seperti Program Pemerkasaan Wanita India (PENN) – AIM, SPUMI & SPUMI Goes Big – TEKUN Nasional, Program BRIEF-i – Bank Rakyat, serta Inisiatif Vanigham – SME Bank, akan tampil mengiktiraf usahawan India berjaya.

“Mereka ini akan dijadikan duta serta ikon inspirasi untuk menggalakkan lebih ramai menyertai dunia keusahawanan,” katanya.

Sehingga November lalu, Ramanan telah mengumumkan lebih 10 inisiatif bernilai hampir RM471.5 Juta khusus untuk komuniti India, sekali gus memperkasa lebih 13,000 usahawan India, tidak termasuk RM100 juta di bawah MITRA bagi pemerkasaan golongan B40 masyarakat India.

India
Manjula Subramaniam (kiri) daripada Nhavin Enterprise yang menerima pembiayaan melalui Program PENN (Prosperity Empowerment and A New Normal) melalui Amanah Iktihar Malaysia mendapat Anugerah Kepimpinan 3R Terbaik.

Sementara itu, penerima anugerah “Leadership Excellence in 3R (Reduce, Recycle and Reuse), Manjula Subramaniam daripada Nhavin Enterprise menzahirkan rasa terharu atas penghargaan yang diberikan.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang memberikan pengiktirafan seperti ini kepada kami. Terima kasih AIM,” katanya yang turut menerima pembiayaan melalui Program PENN (Prosperity Empowerment and A New Normal) melalui Amanah Iktihar Malaysia.

India
Sathies Supramaniam (kiri) pengusaha Sanwa Tours (M) Sdn Bhd yang menerima pembiayaan di bawah Vanigham SME Bank telah mendapat Anugerah Kepimpinan Operasi Pengangkutan Terbaik.

Bagi Sathies Supramaniam, pengusaha Sanwa Tours (M) Sdn Bhd, yang merangkul Anugerah Kepimpinan Operasi Pengangkutan Terbaik menyifatkan anugerah ini sebagai satu dorongan untuk beliau bersama rakan-rakan dalam industri itu bersama-sama berusaha lagi untuk maju ke tahap lebih tinggi.

“Terima kasih KUSKOP terutama Datuk Seri Ramanan atas anugerah ini,” katanya turut menerima pembiayaan dibawah Vanigham SME Bank.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button