
Kursus pembacaan pruf profesional JAKIM-DBP tingkat kemahiran pegawai penerbitan
PUTRAJAYA – Seramai 25 pegawai Bahagian Penerbitan dan Penyelaras Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyertai Kursus Sijil Penerbitan Profesional Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP): Modul Pembacaan Pruf Profesional baru-baru ini.
Kursus anjuran bersama Bahagian Penerbitan JAKIM dan DBP itu bertujuan memperkukuh kefahaman peserta dalam aspek pembacaan pruf secara profesional, selaras dengan keperluan penerbitan bahan bercetak yang berkualiti dan bebas kesilapan bahasa.

Program selama dua hari itu diadakan di Perpustakaan JAKIM, di sini.
Dalam satu kenyataan, JAKIM memberitahu, sepanjang program berlangsung, para peserta diberi pendedahan mendalam tentang asas, panduan serta kaedah pembacaan pruf termasuk simbol-simbol standard yang digunakan dalam proses tersebut.
“Setiap sesi disusuli dengan latihan amali bagi membolehkan peserta mengaplikasikan ilmu secara praktikal, manakala sesi perbincangan pula memberi fokus kepada analisis contoh-contoh kesalahan pembacaan pruf yang biasa berlaku,” menurut kenyataan itu.
Majlis penutup kursus tersebut disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Penerbitan JAKIM, Azman Mat Hassan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBP atas kerjasama dalam memperkasa kompetensi warga penerbitan agensi.
Menurut maklum balas yang diterima, kursus tersebut berjaya mencapai objektifnya dan memberi nilai tambah kepada peserta dalam menjalankan tugas harian secara lebih teliti dan berkesan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |