Kurikulum Persekolahan 2027 fokus bina karakter, literasi ilmu
PUTRAJAYA – Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bakal membawa perubahan paling signifikan dalam sistem pendidikan negara apabila penekanan utama diberikan kepada pembentukan karakter, literasi dan numerasi serta budaya ‘fun learning’ di peringkat asas.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, KP2027 bukan sekadar pembaharuan berkala, sebaliknya respons terhadap perubahan besar dalam tamadun global meliputi teknologi, perubahan iklim, budaya digital dan gaya hidup generasi masa depan.
Beliau menjelaskan, fokus utama kurikulum baharu itu ialah adalah memastikan murid melalui proses perkembangan individu secara menyeluruh meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Prinsip Rukun Negara.
Hasrat tersebut dapat dicapai melalui penerapan nilai murni berpaksikan empat Teras Karakter Utama iaitu, Penyayang, Berdaya Tahan, Berupaya Memimpin dan Warganegara Aktif.
“Kita tidak mahu murid hanya nyanyi atau tepuk tangan semata-mata. Kita mahu mereka faham apa itu gembira, kenapa perlu gembira, dan mengapa nilai hidup bersama secara harmoni itu penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus KPM bersama agensi media berhubung KP2027 di Putrajaya semalam.
Dr. Mohd Azam berkata, konsep pembentukan karakter akan diintegrasikan dalam semua mata pelajaran dan bukannya sebagai mata pelajaran baharu.
Beliau berkata, nilai hormat, empati, kerjasama dan toleransi juga akan dibangunkan melalui aktiviti pembelajaran harian, termasuk kerja kumpulan, praktikal, amali serta interaksi sosial.
Beliau turut menegaskan elemen disiplin ilmu menjadi asas dalam KP2027, termasuk dalam mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu, yang menggabungkan elemen sains, pendidikan seni visual, muzik, pendidikan kesihatan, geografi ,TVET dan digital untuk membentuk pemahaman integrasi ilmu secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu ajar kandungan semata-mata. Kita mahu murid faham disiplin ilmu itu sendiri seperti mencintai alam sekitar, memahami kesihatan, menghayati muzik. Semua ini membentuk cara mereka melihat dunia,” katanya.
Dr. Mohd Azam menjelaskan, pendekatan tersebut penting untuk menyediakan generasi masa depan sebagai individu yang berfikir secara global bagi berdepan cabaran baharu termasuk teknologi AI, ekonomi tanpa sempadan dan perubahan sosial.

‘Co-teaching’, digital dan budaya inkuiri
Menurut Dr. Mohd Azam, pendekatan ‘co-teaching’ atau pengajaran berpasukan juga diberi perhatian, meskipun bukan perkara baharu.
Beliau berkata, kaedah tersebut digalakkan untuk meningkatkan mutu pedagogi dan memastikan pembelajaran lebih kolaboratif manakala elemen digital pula diterapkan secara bertanggungjawab.
“Digital itu dunia mereka tapi nilai manusiawi mesti di depan. Kita tidak mahu murid hanya bergantung pada teknologi tanpa memupuk nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata KP2027 memberi fokus kepada inkuiri, eksplorasi, penemuan dan pembudayaan sains agar murid membesar dengan pemikiran inovatif, bukan sekadar menghafal atau mengejar ranking peperiksaan.
Cabaran perubahan peradaban dunia
Dr. Mohd Azam menegaskan, perubahan kurikulum tidak dibuat semata-mata mengikut tempoh masa tetapi berasaskan perubahan ketara landskap dunia seperti digitalisasi, perubahan iklim, nilai global, tekanan sosial dan cabaran masyarakat menua.
“Dunia berubah. Anak kita hidup dalam global citizen. Mereka menonton budaya luar, terdedah dengan nilai luar. Kalau kita tidak bentuk jati diri, nilai bangsa akan terhakis,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan diteruskan kerana ia dibangunkan melalui proses yang panjang melibatkan pelbagai pakar dan pihak berkepentingan, bukan keputusan terburu-buru.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Azam berkata, beliau sendiri telah mengambil langkah memanggil semua pihak terlibat bagi memperincikan setiap mata pelajaran dalam KP2027, termasuk meneliti apa yang kekal dan apa yang diperbaharui.
“Ini kerja besar. Kita mahu masyarakat faham roh sebenar kurikulum ini. Bukan sekadar baca tajuk di bawah tulisan akhbar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








