Berita Semasa

Kunjungan kapal tentera China ke Pulau Pinang tidak langgar undang-undang

KUALA LUMPUR – Kunjungan kapal tentera China ke Pelabuhan Pulau Pinang baru-baru ini tidak melanggar sebarang peraturan negara termasuk bagi urusan diplomatik.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, kunjungan kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China itu turut mendapat kebenaran Kementerian Pertahanan.

“Permohonan diplomatik dari kedutaan China jelas ada, yang memohon perkara berkenaan, untuk membuat lawatan ke sekolah yang berunsurkan dan berlatar belakang Konfusianisme dan lain-lain.

“Ini ada diuruskan oleh pihak keselamatan dan yang lain itu kita harap kalau ada apa-apa pelanggaran daripada pihak mereka, akan disiasat.

“Tapi setakat ini, memang jelas apa yang dimohon dalam permohonan diplomatik tersebut, ia tidak melanggar apa-apa peraturan negara kita,” katanya.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan sebagai berkata, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang itu disifatkan ‘tidak masuk akal’, kerana terdapat dakwaan perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.

Sementara itu, bagi menjawab soalan asal berkaitan konflik di Laut Cina Selatan daripada Datuk Andy Muhammad Suryandy Bandi (BN-Kalabakan), Mohamad maklumkan ketegangan itu berlaku adalah di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia pada tahun 1979.

“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.

“Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengenepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya lagi.

Berikutan itu, jelas Mohamad lagi, ASEAN dan China sedang merundingkan dokumen Awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.

“Ianya adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing. Rundingan COC dilaksanakan oleh ASEAN dan China menerusi platform, ASEAN- China Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWG- DOC),” katanya.

Katanya, Malaysia juga sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button