
Kumpulan muzik MRSM unggul di Prague, raih emas di pentas antarabangsa
KUALA LUMPUR – Nama Malaysia sekali lagi dijulang di persada dunia apabila kumpulan muzik MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak berjaya merangkul Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague ke-26.
Kejayaan itu disifatkan sebagai pencapaian luar biasa oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut memberikan sokongan secara langsung kepada MAWO dalam Konsert ‘Desaku Mendunia’ di Angkasapuri RTM pada 28 Mei lalu.

“Saya sendiri menyaksikan kehebatan luar biasa anak-anak muda ini. Penuh bakat, disiplin dan semangat yang membara sebelum mereka berangkat ke Prague.
“Kemenangan ini bukan sekadar dalam bidang muzik tetapi simbol semangat dan potensi besar anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia,” katanya melalui satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan yang bukan hanya menjadi milik MRSM dan FELDA, tetapi turut mencerminkan potensi luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda luar bandar.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus menyalurkan sokongan berterusan dari segi motivasi, penyediaan peralatan dan dana bagi menyuburkan bakat dan minat generasi muda dalam bidang seni dan budaya,” tambah beliau.

Lebih membanggakan, MAWO yang juga satu-satunya wakil dari Asia, berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah dalam kategori middle class dalam festival yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Republik Czech.
Dalam pertandingan berprestij itu, MAWO turut diumumkan sebagai penerima markah tertinggi oleh panel juri profesional berdasarkan kualiti persembahan, kecekapan teknikal dan penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.
MAWO merupakan antara inisiatif di bawah program seni muzik FELDA dan MARA yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat anak muda di peringkat akar umbi.
Kemenangan itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar luar bandar untuk berani bermimpi dan melangkah ke pentas global.
“Syabas keluarga besar MRSM, FELDA dan MARESMAF. Anda benar-benar telah ‘mendonia’!” ujar Ahmad Zahid.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |