BERITA SEMASAGAYA HIDUP

Kuasai pelbagai bahasa beri Oodham kelebihan berdakwah

Oleh AMIR SARIFUDIN

GEORGE TOWN – Orangnya nampak bersahaja namun di sebalik penampilannya yang sederhana dia memiliki keistimewaan iaitu bertutur dalam enam bahasa termasuk Bahasa Melayu dan Inggeris.

Antara kebolehannya yang lain ialah bertutur dalam bahasa Hokkien, Punjab, Urdu dan Benggali.

Kelebihan yang dimilikinya itu adalah hasil pergaulan ketika merantau.

Adam Rendhawa Oodham Abdullah, 63, banyak menghabiskan masa berdakwah termasuk ke Indonesia, India, Pakistan, Bangladesh, Thailand dan beberapa negara lagi.

“Saya dari keluarga Singh dan memeluk Islam pada tahun 1984 ketika berusia 23 tahun iaitu semasa belajar di negara Brunei.

“Sebelum peluk Islam, bertahun-tahun saya buat kajian kerana tercari-cari kebenaran agama.

“Akhirnya saya pilih Islam setelah semua persoalannya mengenai kebenaran agama itu terjawab,” katanya memulakan perbualan di sini.

Beliau berkata, setelah memeluk Islam dia kemudian pulang semula ke Pulau Pinang dan penghijrahannya itu telah dimaklumkan kepada ibu bapanya.

Menurutnya, pada awal ibu bapanya agak terkejut namun lama-kelamaan mereka menerima hakikat bahawa dia telah berhijrah kepada agama yang lain.

Beliau menambah, setelah pulang ke tanah air, dia terus berdakwah termasuk kepada ibu bapanya.

Adam bersyukur kerana ibu bapanya akhirnya menerima Islam selain seorang kakaknya yang kini telah berkeluarga.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, untuk berdakwah ia perlulah dilakukan secara bersopan dan berhemah dengan pendekatan yang lembut.

“Kita kenalah memahami budaya sesuatu kaum itu dan mengenali cara kehidupan mereka sebelum berdakwah,” katanya tanpa menyatakan jumlah yang berjaya beliau pimpin untuk bersyahadah.

Sementara itu, Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim berkata, Adam pernah menerajui jawatan pengerusi IKUT pada 2018.

“Kemudian dia melepaskan jawatan kerana minatnya untuk terus berdakwah hingga ke negara luar.

“Namun Adam kerap membantu IKUT hingga kini dalam menjalankan aktiviti,” kata Zolkifly.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button