BERITA SEMASA

Kuasa rakyat tonggak tadbir urus inklusif – Datuk Bandar KL

KUALA LUMPUR – Penglibatan aktif rakyat dalam pembentukan dasar dan pembangunan bandar merupakan elemen penting yang mampu memperkukuh sistem tadbir urus yang lebih inklusif dan responsif.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, keterlibatan masyarakat sebagai rakan strategik mampu menjadikan pentadbiran lebih menyeluruh dan berkesan, selari dengan keperluan serta aspirasi rakyat.

“Apabila suara rakyat diberikan ruang dan peranan yang sepatutnya, kita akan dapat melihat sistem pentadbiran yang lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan pada program INTAN Mindshare: Inovasi Tadbir Urus Malaysia – Meneroka Kolaborasi Rentas Sektor Demi Masa Depan yang berlangsung di Auditorium INTAN, Bukit Kiara, semalam.

Pada sesi tersebut, Dr Maimunah turut berkongsi beberapa pendekatan strategik yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperkukuhkan amalan pentadbiran moden dan berkesan.

Antaranya, pelaksanaan konsep 4P iaitu Public, Private, People dan Partnership, yang menggabungkan kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta dan komuniti dalam usaha pembangunan bandar.

Selain itu, beliau berkata, DBKL juga mengguna pakai kerangka RACI (Responsible, Accountable, Consulted dan Informed) bagi memperjelaskan peranan semua pihak berkepentingan dalam sesuatu projek serta memastikan tadbir urus yang lebih telus dan cekap.

“Prinsip CATEE (Competent, Accountable, Transparent, Efficient dan Effective) turut dijadikan panduan utama dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan bandar,” katanya.

Baca juga : DBKL komited ke arah bandaraya cerdas, mampan dan inklusif

Dr Maimunah turut menekankan visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar Liveable and Loveable, bukan sahaja selesa untuk didiami, malah disayangi dan dimiliki oleh warganya melalui pendekatan pembangunan yang mampan dan inklusif.

Penyertaan beliau dalam program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan DBKL untuk terus meneroka amalan tadbir urus yang inovatif dan berteraskan rakyat demi memastikan masa depan Kuala Lumpur kekal progresif, berdaya tahan dan sejahtera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button