
KTMB tambah perkhidmatan ETS sempena Aidilfitri, tiket dijual mulai esok
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral – Butterworth dan KL Sentral – Padang Besar sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan bahawa perkhidmatan tambahan itu melibatkan perjalanan pada 28 dan 30 Mac (dua hari sebelum Aidilfitri) serta 5 dan 6 April (dua hari selepas Aidilfitri).
Langkah itu diambil bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Sebanyak 1,254 tempat duduk ditawarkan setiap hari, termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan.
“Secara keseluruhan, 5,016 tempat duduk tambahan disediakan bagi tempoh operasi ini,” menurut kenyataan tersebut.
Tiket bagi perkhidmatan tambahan ini akan mula dijual esok bermula pukul 10 pagi melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), mesin kios dan laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.
Pada 3 Mac lalu, KTMB telah mengumumkan tambahan empat perkhidmatan ETS bagi tempoh 28 Mac hingga 6 April 2025 selepas tiket tren berjadual sedia ada habis terjual.
Dengan tambahan ini, jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang ditawarkan sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 40 tren sehari, dengan kapasiti tempat duduk berjumlah 117,996.
Para pengguna disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan dan merancang perjalanan mereka dengan baik.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |