BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lebih 2,700 kanak-kanak di Gaza alami malnutrisi akut

GAZA – Seramai 2,733 kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza dipercayai mengalami malnutrisi akut, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mencerminkan peningkatan mendadak kes sejak proses saringan bermula Februari lalu.

Menurut laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), mendedahkan daripada hampir 47,000 kanak-kanak yang disaring sepanjang separuh kedua Mei, 5.8 peratus disahkan menghidap malnutrisi akut.

“Ini menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding peratusan yang direkodkan tiga bulan sebelumnya.

“Data menunjukkan peningkatan dalam bilangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan akibat kekurangan zat makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sejak Januari lalu, lebih 16,500 kanak-kanak bawah usia lima tahun dikenal pasti mengalami masalah malnutrisi akut, termasuk 141 kes yang menunjukkan komplikasi serius dan memerlukan rawatan intensif di hospital.

“Hanya empat pusat penstabilan beroperasi di seluruh Gaza, namun dua daripadanya di Gaza Utara dan Rafah terpaksa ditutup akibat ancaman keselamatan.

“Ketiadaan akses kepada rawatan yang menyelamatkan nyawa di kawasan tersebut menyebabkan lebih ramai kanak-kanak berisiko tinggi untuk kehilangan nyawa,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran sistem kesihatan di Gaza kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan “di ambang kehancuran”.

“Pemusnahan sistematik terhadap kemudahan kesihatan mesti dihentikan serta-merta,” jelasnya.

WHO merayu agar dua hospital utama yang masih beroperasi, iaitu Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Al-Amal, diberi perlindungan segera daripada sebarang bentuk serangan ketenteraan.

“Pesakit dan kakitangan kesihatan tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa hanya untuk mendapatkan atau memberikan rawatan perubatan asas,” ujarnya.

Beberapa pakar PBB dan agensi kemanusiaan antarabangsa mendakwa serangan berterusan Israel terhadap petugas serta fasiliti kesihatan adalah usaha sistematik untuk menjadikan Gaza tidak lagi layak didiami.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button