BERITA SEMASA

KPT umum bakal anjur Jerayawara Kampus Madani

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bakal mengadakan Jerayawara Kampus Madani ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, jelajah itu bertujuan untuk melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluhan pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.

“Saya sendiri bersama-sama Timbalan Menteri dan pengurusan tertinggi KPT juga akan turun padang untuk melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.

“Kita juga akan pastikan aspek kebajikan terutamanya bagi para pelajar dan kakitangan dititikberatkan,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT Tahun 2024 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Zambry turut mengumumkan lima fokus utama KPT yang merangkumi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi
meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi di negara ini.

Lima fokus tersebut termasuk penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

“Sejak hari pertama menggalas amanah sebagai menteri, saya menekuni dan mencermati kesemua dokumen penting khasnya melibatkan strategi dan perangkaan perancangan yang dibangunkan di kementerian ini.

“Justeru, saya dapat rumuskan bahawa terdapat lima dimensi utama yang dapat ditemakan sebagai ‘fokus utama KPT’, selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button