Berita Semasa

KPT tawar kepakaran AKEPT kepada negara anggota D-8

KAHERAH – Malaysia menawarkan platform latihan komprehensif melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT) kepada semua negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).

Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan platform latihan komprehensif melalui AKEPT kepada kumpulan ahli akademik, pemimpin pelajar, belia, profesional, usahawan pengurusan kanan dan pertengahan bagi membangunkan kapasiti kepimpinan, membina keupayaan dan meningkatkan kemahiran pengurusan.

“Dengan ini Malaysia menawarkan kepada semua Negara Anggota D-8 untuk
menyertai program di AKEPT.

“Malaysia juga berbesar hati untuk mengalu-alukan Azerbaijan sebagai ahli terbaharu dalam Pertubuhan D-8. Kami percaya penyertaan Republik Azerbaijan dalam D-8 akan memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri D-8 ke-21 di Kaherah, Mesir yang turut disertai oleh kesemua wakil Menteri D-8.

Sidang Kemuncak ke-11 D-8 kali ini membawa tema “Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy”.

Dalam pada itu katanya, Malaysia menyokong penuh Deklarasi Kaherah yang mengangkat tema ini untuk dibincangkan tentang hala tuju serta perancangan Kumpulan D-8 untuk golongan belia.

Beliau berkata, selaras dengan tema sidang kemuncak itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan memperkasakan belia

Dalam pada itu, dalam sidang kemuncak itu Mesir turut menganjurkan Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.

Beliau berkata, Malaysia memberi sokongan terhadap penerimaan bersama untuk menyelesaikan situasi genting di Palestin, Lubnan, dan negara-negara jiran yang terkait.

“Hari seterusnya nanti, saya akan memberi Kenyataan Negara di Sidang Kemuncak ke-11 D-8, serta Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.

“Pada sela-sela masa, saya telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama dengan Menteri Luar Iran; Setiausaha Agung Kumpulan Negara D-8; Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh; Menteri Luar Pakistan; dan Menteri Luar Mesir.

“Kesemuanya menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button