
KPT perkukuh peranan pendidikan tinggi serantau
LANGKAWI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh peranannya dalam memperkukuhkan pendidikan tinggi serantau menerusi penganjuran sesi Bridging ASEAN Education bersempena Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025, di sini, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendidikan bukan sekadar proses penyampaian ilmu tetapi keperluan dalam membentuk jati diri, mencungkil potensi serta mempersiapkan generasi masa depan dengan nilai dan tanggungjawab terhadap negara.
“Pendidikan adalah satu bentuk kepedulian – “education is an act of care”. Ia mencerminkan komitmen kita untuk melahirkan insan berwibawa yang mampu menggalas amanah bangsa dan negara,” katanya.
Dr. Zambry turut menekankan peranan penting agensi-agensi di bawah KPT seperti Education Malaysia Global Services (EMGS), Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) terus memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara yang bersifat inklusif, berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Katanya, sistem pendidikan tinggi negara menawarkan laluan menyeluruh merangkumi akademik dan vokasional, daripada universiti penyelidikan hingga ke kolej komuniti, termasuk menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama strategik bersama industri dalam bidang teknologi digital, tenaga bersih dan pembuatan pintar.
Majlis turut menyaksikan pembentangan pencapaian oleh Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Pengarah AKEPT, Harshita Aini Haroon.
Dalam perkembangan sama, sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Malaysia dan Timor-Leste dalam bidang pendidikan tinggi yang ditandatangani Zambry dan rakan sejawatnya, José Honório da Costa Pereira Jerónimo.
Sebagai simbol jalinan kerjasama pendidikan serantau, seramai 20 pelajar dari Rajabhat University, Thailand turut diraikan selepas menamatkan program Langkawi Edutourism Geopark Odyssey (Let’s GO!) anjuran Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi.
Tambah Zambry, inisiatif serantau seperti Graduate Pass dan ASEAN GEMS yang kini melibatkan lebih 311 penyedia biasiswa dengan komitmen melebihi RM19 juta jelas membuktikan tekad negara-negara ASEAN dalam menjadikan pendidikan sebagai pemacu utama kesejahteraan bersama.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim serta barisan pegawai kanan kementerian.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |