KPT pertimbang peluasan pengecualian bayaran balik graduan ijazah kelas pertama IPTS
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan kemungkinan untuk memperluaskan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, insentif berkenaan ketika ini hanya melibatkan graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) kerana memerlukan peruntukan kewangan yang besar.
“Banyak yang bertanya dalam Bajet 2026 yang dibentangkan kali ini kerana ia hanya babitkan IPTA sahaja. Itu pun bagi graduan B40 dan M40 tetapi sebelum ini memang melibatkan semua (graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama IPTA dan IPTS), cuma mungkin ini (dipengaruhi) kekangan ekonomi dan fiskal negara.
“KPT selalu terangkan, untuk bajet kali ini, ini sahaja kemampuan kita. Tetapi kita akan kaji lagi bagi tahun mendatang supaya dikembalikan seperti dulu,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai kemungkinan kerajaan mempertimbangkan semula pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN yang mengikut pengumuman pada Belanjawan 2026 hanya dikekalkan bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di IPTA.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, KPT akan terus melakukan kajian berhubung saranan itu khususnya mengenal pasti mekanisme bersesuaian kerana ia membabitkan kos yang agak tinggi.
“Saya fikir Perdana Menteri amat prihatin mengenai isu ini, mungkin untuk bajet akan datang jika kita (kerajaan) berupaya, insentif ini dapat diteruskan untuk IPTS, insya-Allah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






