BERITA SEMASA

KPT pantau rapat isu Harvard, pelajar Malaysia tidak terjejas setakat ini

PUTRAJAYA– Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau rapat isu pembatalan pensijilan Universiti Harvard oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) menerusi Pejabat Education Malaysia Washington D.C. (EMWDC), susulan kebimbangan yang timbul.

KPT dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, seramai 54 pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Harvard tidak terjejas dengan isu berkenaan.

Keyakinan itu katanya berdasarkan perkembangan terbaharu yang melegakan apabila Mahkamah Persekutuan AS memutuskan untuk mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) terhadap tindakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS yang membatalkan pensijilan di bawah Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) terhadap Harvard.

Keputusan tersebut membolehkan lebih 6,800 pelajar antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, meneruskan pengajian tanpa gangguan terhadap status visa mereka buat masa ini.

“Sehingga kini, seramai 54 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di Harvard, terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri. Tiada sebarang masalah atau penarikan visa dilaporkan melibatkan pelajar negara ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tindakan DHS pada 22 Mei lalu menghalang Universiti Harvard daripada mendaftarkan pelajar antarabangsa baharu dan memberi tekanan kepada pelajar sedia ada untuk berpindah ke institusi lain, menimbulkan kebimbangan meluas dalam kalangan komuniti pelajar antarabangsa.

KPT menjelaskan bahawa pihaknya serta EMWDC telah menjalankan libat urus bersama pihak penaja dan agensi berkaitan di Amerika Syarikat bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan pengajian pelajar Malaysia sentiasa dilindungi.

“Pelajar-pelajar diingatkan untuk sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) dan berhati-hati dalam sebarang urusan imigresen,” menurut kenyataan itu.

Bagi pelajar baharu yang dijadualkan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard bagi kemasukan September 2025, KPT menyarankan agar mereka berhubung secara langsung dengan pihak universiti dan penaja masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini sebelum membuat sebarang keputusan.

KPT juga menegaskan bahawa pendidikan tinggi rentas sempadan adalah landasan penting dalam pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antarabangsa.

“Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, KPT akan terus menyokong pelajar Malaysia di luar negara dalam apa jua keadaan,” tambah kenyataan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button