
KPT kerah 510 sukarelawan IPT bantu operasi pembersihan di Putra Heights
SUBANG JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggerakkan seramai 510 sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi menyertai Operasi Mega Pembersihan pasca kebakaran paip gas di Putra Heights pagi tadi.
KPT dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan sukarelawan tersebut telah diketuai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan diselaraskan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Awam (MASKUM).
“Operasi selama dua hari bermula hari ini itu turut melibatkan lebih 2,000 orang sukarelawan termasuk dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), IPT dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis pelancaran operasi tersebut telah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seterusnya telah membantu para mangsa membersihkan kawasan rumah, jalan, lorong serta mengeluarkan barangan yang rosak akibat kebakaran.
KPT menambah, penglibatan pelajar IPT dalam operasi ini membuktikan komitmen kementerian dalam membantu mangsa bencana dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang; Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Timbalan Pengerusi MASKUM, Prof. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Arifin Abdu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |