BERITA SEMASA

KPT junjung kasih Seri Paduka perkenan nama baginda digunakan bagi Kursi Pengajian Melayu di BFSU

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim  kerana memberi perkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dengan nama baginda, menjadikan nama baharunya sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.

Menurut KPT, kursi akademik di bawah kendaliannya itu ditubuhkan pada tahun 2007 di BFSU bagi mengiktiraf peranan universiti itu yang  konsisten dalam usaha pengembangan Bahasa Melayu di negara China.

BFSU merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China seawal tahun 1962, dengan mendiang Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.

“KPT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana memberi perkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu tersebut dengan nama Baginda.

“Sehingga kini terdapat 17 buah Institusi Pendidikan Tinggi China yang menawarkan kursus pembelajaran Bahasa Melayu.

“Penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim ini mengukuhkan lagi keakraban Malaysia dan China dengan

sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik Kuala Lumpur – Beijing yang telah termeterai pada 31 Mei 1974,” kata KPT dalam satu kenyataan, hari ini.

KPT turut memaklumkan, Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU China merupakan Kursi Akademik yang keempat daripada lima yang ditubuhkan di beberapa universiti antarabangsa.

“Kursi Pengajian Melayu di negara lain adalah di Ohio University di Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada 1979, diikuti di Leiden University di Belanda (1991), Victoria University di New Zealand (1995), dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan (2005),” kata KPT lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button