BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPN sambut baik penubuhan Majlis Sejarawan Negara

KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Sejarawan Negara sebagai satu badan khusus yang memastikan fakta sejarah negara tidak dimanipulasikan akan memberi sumbangan signifikan dalam membentuk masa depan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, penubuhan Majlis yang akan dianggotai pakar sejarah, ahli akademik dan badan bukan kerajaan berkaitan itu mampu membentuk masa depan negara melalui pemahaman yang mendalam terhadap sejarah.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) menyambut baik cadangan penubuhan badan itu oleh kerajaan sebagai pihak berautoriti dalam menentukan bahawa sejarah negara ini ditulis berdasarkan fakta yang mengenepikan sebarang perbezaan.

“Kementerian Perpaduan Negara akan menggerakkan usaha untuk menubuhkan Majlis tersebut. Fokusnya adalah berkaitan aspek kajian, rujukan sumber, penulisan, penerbitan dan pendidikan sejarah (silibus) serta advokasi.

“Majlis ini juga memainkan peranan yang signifikan dalam menangani isu penyelewangan sejarah yang boleh mengganggu gugat kestabilan, keamanan dan keharmonian negara.

“Keurusetiaan Majlis ini adalah di bawah tanggungjawab ANM,” katanya dalam kenyataan KPN hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyarankan penubuhan Majlis Sejarawan Negara untuk menghimpunkan sejarawan negara di bawah satu bumbung bagi menentukan sejarah ditulis berdasarkan fakta yang sah.

Aaron berkata, di peringkat antarabangsa, beberapa buah negara telah mempunyai majlis seperti ini antaranya Filipina (The National Historical Commission of the Philippines), Amerika Syarikat (National Council on Public History), Perancis (Commission Nationale de l’Histoire) dan lain-lain.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button