
KPN raikan 66 warga PDRM penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024
KUALA LUMPUR – Seramai 66 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini hari ini.
Melalui hantaran di Facebook rasmi PDRM, Razarudin tiba pada pukul 10.30 pagi dan disambut oleh Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Majlis dimulakan dengan penyerahan Buku Keputusan APC 2024 oleh Razarudin kepada barisan Pengarah, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis negeri dan Komander yang mewakili penerima dari jabatan, kontinjen, institusi latihan dan briged.

Senarai penerima Sijil APC didahului oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, diikuti Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan.
Penyampaian APC disempurnakan oleh Razarudin bersama Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Abdul Aziz.
Dalam ucapannya, Razarudin menyatakan keyakinan melalui kriteria pemilihan yang ditetapkan, warga pasukan akan terus berusaha secara proaktif dan berdaya saing, demi memberikan perkhidmatan berkualiti sejajar dengan harapan negara dan masyarakat.
“Bagi pegawai polis, APC bukan sahaja diambil kira dalam proses kemajuan kerjaya dan pemberian Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Persekutuan atau Negeri, bahkan turut mempengaruhi peluang untuk menyertai kursus dalam serta luar negara,” ujar beliau.
Setiap penerima APC turut menerima Sijil Simpanan Pendidikan Nasional bernilai RM1,000 daripada PTPTN sebagai galakan menabung untuk pendidikan.
PTPTN turut menyumbang RM10,000 bagi cabutan bertuah sepanjang majlis berlangsung.
Sebelum majlis berakhir, Ahmad Dasuki turut menyerahkan ‘mock cheque’ SAHABAT PTPTN berjumlah RM67,909 kepada Razarudin untuk disalurkan ke Tabung Kebajikan PDRM dan insentif SAHABAT APC 2024.
Bagi keseluruhan tahun 2024, seramai 10,534 warga PDRM telah diperakui sebagai penerima APC.
Ia merangkumi 1,086 Pegawai Kanan Polis, 8,486 Pegawai Rendah Polis dan 962 Pegawai Awam dari Bukit Aman, kontinjen, briged serta institusi latihan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |