
KPM tubuh jawatankuasa khas tangani ketidakhadiran calon SPM duduki peperiksaan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025 sebagai satu usaha mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah ini merupakan antara rancangan pelan intervensi kementerian yang antara lain turut melaksanakan pemerkasaan ke atas pelaksanaan program sedia ada.
Jelasnya lagi, kementerian turut meningkatkan pentaksiran psikometrik bagi mengumpul maklumat gambaran tret psikologi daripada aspek minda atau jiwa untuk membantu murid mengenali personaliti kendiri dan membuat keputusan berdasarkan kebolehan sendiri.
“(Kementerian juga) melaksanakan Program Persediaan Menghadapi Peperiksaan SPM melalui inisiatif Program Minda Sihat Sekolah dan sebagainya.
“Selain itu, aktiviti berfokus seperti ziarah cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia, membabitkan Program Pecutan SPM 2024 dengan ia dijalankan secara berfokus dan di 16 negeri,” katanya.
Kah Woh berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai punca murid tidak hadir menduduki SPM dan usaha memastikan mereka tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai punca 10,160 calon SPM tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu, Kah Woh berkata, analisis kementerian mendapati antara alasannya kerana calon sudah bekerja, berhenti sekolah, mengalami masalah keluarga, berpindah sekolah dan sakit.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |