KPM tolak dakwaan kertas ujian bertutur SPM 2025 bocor
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 seperti yang tular di media sosial.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan tersebut.
“Siasatan mendapati, maklumat yang ditularkan itu adalah senarai tema umum dan merupakan kandungan yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
“Senarai tema yang ditularkan itu hanya ramalan oleh guru dan calon peperiksaan SPM dan tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” kata KPM dalam kenyataan tersebut.
Jelas KPM lagi, kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, diklasifikasikan sebagai sulit seperti peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, KPM menasihatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 untuk kekal tenang dan terus fokus kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.
“KPM (sentiasa) berusaha memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 adalah terjamin,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






