
KPM sambut baik saranan PM pertingkat murid asrama penuh ambil bidang STEM
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan bilangan murid dalam bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menampung keperluan sumber manusia dalam bidang berkaitan.
Menurut KPM, bagi merealisasikan sasaran dasar 60 peratus murid dalam bidang STEM, semua sekolah berasrama penuh (SBP) melaksanakan pakej STEM dengan jumlah murid seramai 18,113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan murid SBP.
“Baki seramai 209 orang murid SBP atau 1.14 peratus lagi mengambil pakej sains sosial,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula pada tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dilaksanakan segera pada tahun ini, sejajar dengan kepentingan bidang berkenaan dalam pembangunan negara.
Mengulas lanjut, KPM berkata, pakej STEM di SBP ditawarkan dalam beberapa pilihan, antaranya murid boleh mengambil semua mata pelajaran sains tulen seperti fizik, kimia dan biologi bersama dengan matematik tambahan.
Selain itu, KPM berkata, terdapat juga pilihan di mana murid mengambil semua mata pelajaran sains tulen, matematik tambahan, bahasa Arab, pendidikan Al-Quran dan as-Sunnah, serta Pendidikan Syariah Islamiah.
“Pilihan lain termasuk murid yang mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia, dan Biologi), Matematik Tambahan, serta Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran.
“Terdapat juga pilihan bagi murid yang mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan, serta Sains Komputer,” katanya.
KPM menambah, tumpuan kementerian pada waktu ini adalah untuk meningkatkan enrolmen murid yang mengambil mata pelajaran sains tulen di semua jenis sekolah.
Jelas KPM, pihaknya akan turut memperkenalkan inisiatif SBP khusus yang memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut akan dipertingkatkan bagi memperkasa pembudayaan STEM di semua jenis sekolah dan di setiap peringkat,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |