BERITA SEMASA

KPM jangka pendaftaran kanak-kanak 6 tahun ke Tahun Satu memberangsangkan

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menjangkakan kemasukan kanak-kanak enam tahun mendaftar masuk ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027 menerima sambutan memberangsangkan terutamanya dalam kalangan warga bandar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, jangkaan itu berdasarkan makluman awal diterima pihaknya apabila terdapat ibu bapa sangat menyambut baik perkara itu.

“Kalau ikut ‘mapping’ (pemetaan) kita, semua di kawasan bandar memang akan terima (kanak-kanak enam tahun masuk Tahun Satu), maknanya di sini, ibu bapa menyambut perkara ini dengan sangat-sangat baik.

“Walaupun bilangan murid kita belum dapat sepenuhnya kerana pendaftaran belum dibuka, tetapi jangkaan dan rujukan kita itu sudah ada yang kita jangka kawasan bandar akan terima lebih ramai murid,” katanya, hari ini.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan pihak kementerian menghadapi kemasukan murid Tahun Satu kohort enam tahun bagi sesi persekolahan 2027.

Beliau menambah, KPM juga sedang melakukan persediaan maksimum bagi menerima kemasukan berkenaan.

“Persiapan kita adalah maksimum dan sekarang ini kita tumpukan kepada mapping kawasan-kawasan, sekolah-sekolah, untuk kita segera buat khususnya untuk fasiliti, kapasiti, dan juga mengoptimumkan kawasan-kawasan yang kita jangka akan menerima limpahan pelajar ini pada tahun hadapan.

“Persiapan tertumpu kepada latihan guru dan pengambilan guru akan buka juga 20,000 guru sebagaimana yang kita perlukan.

“Dua persiapan penting ini sedang kita laksanakan dengan sangat tekun dan teliti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button